Pada manuskrip tersebut terpancar kegemilangan tamadun Melayu, bangsa yang begitu prihatin akan penjagaan diri dan keturunannya. Dengan permulaan yang menghuraikan hakikat kejadian manusia daripada jurai Adam dan Hawa, Datin Anisah meletakkan persembahan karyanya pada paksi yang tepat. Sesungguhnya, asas sebuah masyarakat sihat ialah dua insan yang disatukan dalam ikatan perkahwinan, yang kemudiannya membiakkan ahlinya menjadi unit-unit kecil lain bagi melengkapkan proses perkembangan masyarakat itu. Dari sinilah dihuraikan kitaran yang dilalui oleh seseorang insan, yang tidak dapat tidak, mesti melalui proses persenyawaan, alam kandungan sehinggalah akhirnya dilahirkan. Setiap tahap ini dirincikan dengan kupasan mengikut kefahaman ilmu Melayu dan pada bahagian tertentu disertakan pula dengan penjelasan berdasarkan ilmu perubatan moden. Pelbagai masalah yang dihadapi oleh ibu hamil dan kandungannya diterangkan, diikuti dengan cara mengatasinya, sama ada secara perubatan, perawatan, pemakanan, ataupun pencegahan.
Kesemua ini disampaikan menggunakan aparat ilmu Melayu, yang sekali gus mendedahkan kemajuan bangsa yang telah mengamalkannya turun-temurun, barangkali sejak ribuan tahun lalu, seawal kewujudan kerajaan Melayu purba. Penemuan ekskavasi Lembah Bujang dan Kota Gelanggi serta catatan pedagang China misalnya, memberi petunjuk bahawa bangsa Melayu sudah pun mengamalkan sistem masyarakat beraja sekitar abad kedua atau kelima masihi. Dan istanalah yang menjadi pusat praktis kecantikan dan kesihatan. Dari istana, praktis itu berkembang subur sehingga menjadi ilmu yang luas dan merakyat. Sebuah bangsa yang mundur, tidak bertamadun tidak mungkin memiliki istilah khusus lagi rinci berkaitan organ dan saraf, proses kehamilan dan kelahiran, penyakit dan masalah, serta kaedah penjagaan ibu dan anak secara sistematik. Bayangkan, untuk "uterus", masyarakat Melayu mempunyai sekurang-kurangnya lima nama, iaitu rahim, peranak, peranakan, merian, atau yang lebih halus, penyawa. Inilah satu daripada indeks yang memancarkan kegemilangan tamadun Melayu yang terkandung dalam manuskrip tersebut.
Perekaan, Persembahan dan Peristilahan
Bersama-sama dengan Datin Anisah, manuskrip tersebut diperkasai bagi menghasilkan sebuah buku yang komprehensif, sesuai dengan kekayaan ilmu warisan ini. Korpus amalan dan perawatannya seakan-akan tidak pernah kontang. Begitu dicurah digali, makin banyak pula yang melimpah. Sehingga menghampiri tarikh akhir penerbitan, pemasukan isi dan gambar seakan tiada berkesudahan.
Dari segi perekaan, buku ini telah dibina atas konsep mesra pengguna, iaitu dengan mengasingkan teks utama daripada atur cara rawatan dan resipi ubatan serta makanan yang dimuatkan dalam reka letak yang khusus. Bagi membantu pemahaman, ratusan gambar dan ilustrasi berwarna-warni telah disisipkan. Selain itu, satu senarai tumbuhan yang dapat dijadikan ramuan ubatan dan rawatan dilampirkan di penghujung buku, lengkap dengan nama Melayu, nama botani serta jenis pokok. Ini penting bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan spesies yang digunakan.
Oleh sebab ilmu perbidanan Melayu ialah warisan turun-temurun, maka dari segi peristilahan dan konsep, banyak bahasa arkaik dan yang bersifat kedaerahan ditemukan. Istilah atau konsep tersebut dinamai dengan indah sekali dan ada antaranya tidak pernah lagi kedengaran, misalnya "ujud anggota" atau "kuntum" yang merujuk pada organ kewanitaan. Untuk itu, nota-nota telah disertakan pada tempat-tempat yang difikirkan perlu, di samping disenaraikan dalam glosari. Bagi memudahkan rujukan, istilah atau konsep itu ditandai dengan huruf besar setiap kali ia diulang sebut dalam teks. Dengan yang demikian, pembaca diberi indikasi bahawa glosari dapat dirujuk bagi istilah atau konsep yang berkenaan.
Dari segi peristilahan, buku ini menggunakan kedua-dua istilah Melayu moden dan Melayu tradisional, mengikut kesesuaian isi perbincangan. Bagaimanapun, dalam banyak keadaan, istilah tradisional lebih diutamakan. Bagi variasi nama, misalnya "mulut rahim", "mulut peranak" atau "batu merian" yang merujuk pada "serviks", istilah tersebut digunakan secara bertukar ganti.
Dalam usaha memelihara kredibiliti, pelbagai rujukan dalam bentuk buku, kamus dan bahan atas talian, terutamanya yang berkaitan bidang perubatan dan kewanitaan telah dimanfaatkan. Sehubungan itu, kami juga terhutang budi dengan Ustaz Ramzi Omar yang telah menyemak dan menyediakan teks Arab bagi zikir dan doa berserta terjemahannya. Begitu pula kami amat menghargai pertolongan yang dihulurkan oleh Ustaz Zaid Akhtar yang turut membuat semakan pada amalan yang berkaitan. Satu senarai doa dilampirkan di penghujung buku ini bagi memudahkan pembaca membuat rujukan.
Dengan susunan yang sedemikian, maka terserlahlah keseluruhan kandungan buku yang begitu teknikal sifatnya—daripada perbincangan isi, atur cara rawatan dan resipi, gambar foto dan ilustrasi, sampailah kepada peristilahan dan konsep. Menyedari bahawa khalayak yang bakal menatap buku ini terdiri daripada pelbagai lapisan dan latar belakang, kami telah menyediakan anatomi jasad wanita pada bahagian awalan buku. Ini adalah untuk memperjelas anggota dan organ penting pada tubuh wanita, dengan struktur khusus pada alat kewanitaan, organ reproduktif, saraf dan urat, serta cakera nadi pada muka. Pada ilustrasi itu, anggota dilabel berserta variasi penuh nama tradisional dan moden.
Setelah berulang kali penelitian dibuat ke atas pruf, kami akur bahawa judul buku ini harus menggambarkan isinya yang komprehensif. Apatah pemaparan tentang dunia perbidanan Melayu secara menyeluruh turut membawa makna martabat ilmu warisan bangsa yang berupaya memberi kesan yang signifikan dalam industri perubatan dan penjagaan kesihatan. Persetujuan akhirnya dicapai. Sesuai dengan format persembahan dan liputan kandungannya, maka judul baharu yang lebih wajar diberikan, iaitu Ensiklopedia Perbidanan Melayu.
Ilmu Perbidanan Melayu Rentas Disiplin
Amalan perbidanan merupakan juzuk penting dalam budaya hidup bangsa Melayu. Malah daripada maklumat yang diperoleh dalam juzuk ini, etos mereka dapat ditelusuri. Bidan ditempatkan pada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat, dipandang sebagai "doktor pakar" dalam hal penjagaan ibu dan bayi, sentiasa sedia berkhidmat, dan dikasihi. Pelbagai upacara, amalan dan pantang larangnya memperlihatkan kehalusan akal budi. Antaranya, adab melantik bidan, adat melenggang perut, menyambut orang baru, berendoi, zikir dan doa, upacara menanam uri, atau atur cara menamatkan pantang bersalin. Kesemuanya menggambarkan weltanschauung umat Melayu yang mengakrabi alam serta ditunjangi ajaran Islam. Oleh yang demikian, buku ini harus dimanfaatkan oleh peneliti budaya bagi dikaji kosmogoni manusia Melayu.
Oleh sebab amalan perbidanan mempunyai impak ke atas perkembangan masyarakat, maka buku ini tidak wajar diabaikan oleh para agamawan. Islam telah datang kepada umat Melayu dan menyempurnakan tatacara hidup mereka. Generasi terdahulu mempraktikkan dengan patuh ajaran Rasulullah SAW berkaitan tuntutan supaya berkahwin, anjuran untuk memperbanyak zuriat dan cara menyambut mereka. Malangnya, sebahagian amalan tradisi yang bertunjangkan ajaran Islam itu sudah semakin luntur hari ini. Menerusi penelitian terhadap ilmu perbidanan Melayu, diharapkan golongan agama dapat menggali kekuatan dan kelemahan masyarakat ini, yakni demi mengampuhkan strategi menyelamatkan ummah daripada kemungkaran akhir zaman.
Sesungguhnya, keindahan budaya Melayu bukan sahaja tergambar pada upacara, amalan dan pantang larangnya. Turut disertakan dalam buku ini ialah pantun yang menjadi pembuka bicara setiap tajuk utama. Begitu indahnya puisi Melayu, tajuk yang luas dan melibatkan deretan perenggan atau panjang berkajang-kajang, dapat diungkap dalam bait yang hanya terdiri daripada empat baris. Bersama-sama aspek peristilahan yang disebutkan awal tadi, inilah satu lagi aspek yang wajar dikaji oleh peneliti bahasa dan sastera, yang juga berupaya mendefinisikan kosmogoni manusia Melayu.
Bagi ahli botani, farmakologi dan perubatan, kajian mesti diperbanyak agar khasiat herba dan rempah-ratus yang menjadi ramuan untuk ibu hamil dan dalam pantang bersalin (juga bayi yang baru dilahirkan) dapat dibuktikan secara saintifik. Penemuan sekumpulan pengkaji dari Universiti Sains Malaysia cawangan Kubang Kerian bahawa cekur dapat mengelakkan masalah kemurungan dalam kalangan ibu bersalin tentulah amat mengujakan. Masalah tersebut sekian lamanya telah dikenal pasti oleh bidan Melayu sebagai sakit meroyan (merian), iaitu yang berpunca daripada angin merian yang berkumpul di dalam rahim selepas bersalin. Cekur telah digunakan turuntemurun oleh orang Melayu bagi menghalau "angin jahat" itu. Herba lain seperti kunyit sudah dikaji oleh pakar sains Timur dan Barat, dan disahkan sifatnya yang antioksidan dan antikanser. Penemuan tersebut membuktikan perbidanan Melayu yang menjadikan kunyit sebagai satu daripada ramuan utama dalam perawatannya telah mendahului kemajuan sains. Oleh yang demikian, sewajarnyalah pakar tempatan mempergiat penyelidikan yang berkaitan.
Hujung Bicara
Buku ini mengemukakan hakikat betapa falsafah kesihatan Melayu adalah jelas, iaitu kesihatan alat penyawa menentukan kesihatan seseorang wanita. Bahagian penting pada organ tersebut ialah batu merian. Dikatakan oleh bidan tua dahulu bahawa batu merian ibarat putik bunga, kuncup, kejap, kenyal, dan mantap. Keanggunan ibu yang memiliki batu merian seumpamanya dikatakan lebih hebat daripada perawan. Inilah antara pati rahsia kesihatan wanita Melayu yang menekankan kesucian dan kecantikan diri, luaran dan dalaman.
Buku ini merakamkan satu cabang daripada ilmu Melayu berkaitan perubatan dan penjagaan kesihatan. Kami berdoa agar cabang-cabang lain dalam ilmu yang kaya ini dapat dibukukan pula pada masa akan datang. Juga, moga-moga usaha ini beroleh rahmah dan barokah daripada al-Waasi‘, Tuhan yang Maha Luas Pemberian-Nya, amin.
PENERBIT Disember 2006
|